de' boboiS n gegurlS

Jul 25, 2011

luRve!






















Emosi ibu bapa pengaruhi anak

Oleh Norlaila Hamima ?Jamaluddin
norlaila@hmetro.com.my

DEKATI MEREKA...kanak-kanak tidak pandai menggambar emosi tetapi ia jelas
melalui riak wajah mereka.

BIMBING...kekerapan bersama anak akan memupuk pembesaran yang sihat.

APABILA tersiar berita wanita Malaysia
menduduki tangga ke-16 paling tertekan di dunia, sana sini orang membincangkan
isu berkenaan.

Tetapi tahukah kanak-kanak juga
mengalami tekanan terutama jika ibu bapa kurang memberi perhatian kepada
mereka?

Mungkin ramai ibu bapa tidak sedar
bahawa masa yang mereka luangkan untuk anak-anak sebenarnya sangat singkat.
Mungkin juga ada ibu bapa kurang bersetuju dengan kenyataan ini, tetapi cuba
renungkan, berapa lama masa yang anda luangkan untuk benar-benar bercakap
dengan anak?

Adakah kemungkinan masa yang anda peruntukkan bersolek dan menggayakan pakaian
di depan cermin atau bersembang dengan kawan di kedai kopi lebih lama
berbanding anda bercakap dengan anak-anak?

Mungkin ada yang menggelengkan kepala
menandakan tidak. Jika difikir logik, memang tidak mungkin kita menghabiskan
masa untuk diri sendiri lebih lama daripada bersama anak-anak namun inilah
hakikatnya.

Malah, ada ibu bapa tidak tahu mengenai pengalaman baru yang dilalui di sekolah
atau pusat penjagaan kanak-kanak.

Dalam satu kajian pada 1989 hingga 1990 mendapati purata masa yang diluangkan
bapa di Australia untuk bercakap dengan anak hanyalah 10 minit.

Jangan geleng kepala dulu kerana dalam
kajian
ke atas 10,000 ibu bapa termasuk di Malaysia pada 1990 hingga 1992, masa yang
diluangkan ibu (suri rumah) untuk benar-benar bercakap dengan anak hanyalah
lima minit sehari manakala masa yang diambil oleh bapa di Malaysia hanyalah dua
minit sehari!

Ibu bekerja meluangkan masa lebih lama untuk bercakap dengan anak-anak iaitu
lapan minit - mungkin ini disebabkan kesedaran memperuntukkan masa berkualiti
bersama anak.

Menurut Perunding Psikologi Klinikal, Paul Jambunathan,
tanpa disedari ramai ibu bapa ‘merelakan’ anak mereka membesar dengan
pembantu rumah.

Tanpa disedari juga, kebanyakan pembantu rumah yang menjadi ‘dunia’ kepada
anak-anak kita lebih memahami emosi mereka.

“Kanak-kanak juga ada banyak emosi, sama seperti orang dewasa. Kanak-kanak yang
kurang kasih sayang akan menjadi individu dewasa yang kurang normal hidupnya.

“Mereka akan cepat putus asa, tidak dapat memberikan sentuhan yang
mententeramkan kepada pasangan atau anak-anak mereka kelak.

“Kanak-kanak akan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan perhatian ibu
bapa. Mereka mahukan belaian, pelukan, kasih sayang dan pujian daripada ibu
bapa.

"Apa yang membimbangkan ialah
apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan daripada kekosongan jiwa anak-anak
ini dengan mencabul mereka. Mereka memberikan ‘sentuhan kasih sayang’ dalam
cara yang salah.

“Malah, jika sebarang kejadian tidak
elok berlaku termasuk pergaduhan antara emak dan ayah, anak-anak terutama yang
masih kecil akan menyalahkan diri sendiri kerana beranggapan merekalah punca
masalah berkenaan,”
katanya dalam Forum Kanak-kanak 2011
anjuran bersama Pertubuhan Kanak-kanak Bersatu Malaysia (Uncom) dan Lembaga
Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Kanak-kanak tidak pandai menggambarkan
emosi mereka dengan kata-kata, tetapi ia boleh dilihat dengan jelas melalui
perubahan riak muka dan perlakuan.

Namun jika ibu bapa tidak rapat dengan anak, mereka mungkin tidak dapat
mengesan perubahan ini.

Sudahlah kurang memahami emosi anak, apabila diminta menyenaraikan keadaan
emosi - kebanyakan ibu bapa memberikan emosi yang negatif.

Inilah sebabnya yang selalu membuatkan kita berfikiran negatif sehingga
terbawa-bawa apabila bercakap dengan anak.

Emosi dan proses pembelajaran

“KANAK-kanak yang ceria dan gembira boleh belajar dengan lebih baik, sebaliknya
kanak-kanak yang selalu dalam keadaan sedih kurang menunjukkan minat untuk
belajar. Malah, komunikasi mereka juga akan bersifat negatif.

“Emosi ibu bapa akan mempengaruhi anak-anak. Inilah sebabnya ibu bapa perlu
bijak mengawal emosi mereka ketika bersama anak.

“Jika emosi anda negatif, anak-anak akan
merasa kesannya. Secara tidak langsung mereka juga akan berasa tidak seronok
walaupun ibu bapa ada bersama,”
katanya.

Dalam kajiannya pada 1992 hingga 1992, Jambunathan mendapati kanak-kanak
belajar perbendaharaan emosi atau perkataan yang menerangkan emosi melalui
pengalaman.

Ini bermakna ibu bapa perlu memberitahu perkataan yang betul bagi setiap
keadaan emosi seperti seronok, gembira, suka, sedih atau hampa.

“Jika tidak diajar, anak-anak tidak pandai untuk luahkan emosi atau perasaan
mereka. Kanak-kanak yang tidak dapat melahirkan perasaan mereka dengan baik
tidak membesar dengan sempurna,” katanya.

Memberi peluang anak bercakap dalam
perbualan keluarga sebenarnya boleh membantu meningkatkan kemahiran mereka
berkomunikasi.

Kajian penyelidik ke atas 150
kanak-kanak di bawah Program Penyelidikan Pendidikan Majlis Belanda selama
beberapa tahun mendapati mereka dapat menjawab soalan yang diajukan guru dalam
kelas dan mampu mematuhi arahan dengan baik.

Peluang bercakap setiap hari (atau hampir setiap hari) secara serius dengan
bapa sebenarnya menggembirakan anak-anak.

Remaja Britain memberikan diri sendiri skor 87 peratus dalam skala kegembiraan
berbanding hanya 79 peratus di kalangan remaja yang jarang bercakap dengan bapa
mereka.

Inilah penemuan daripada soal selidik isi rumah rakyat Britain ke atas 1,200
remaja berumur 11 hingga 15 tahun yang dijalankan Universiti York.

Ia mendapati hampir separuh responden (46 peratus) berkata sangat jarang
bercakap dengan bapa mengenai perkara penting. Kurang daripada 31 peratus
responden bercakap dengan ibu hampir setiap hari tetapi hanya 13 peratus yang
meluahkan masalah mereka kepada bapa.

Kekerapan bercakap dengan bapa terutama
membabitkan perkara penting semakin kurang apabila remaja meningkat dewasa
. Data menunjukkan di kalangan kanak-kanak 11
tahun, 42 peratus bercakap lebih sekali seminggu dengan bapa berbanding hanya
16 peratus di kalangan remaja berusia 15 tahun. Keputusan ini lebih kurang sama
dengan kajian terdahulu.

Malah, ada penyelidik berpendapat bagi kanak-kanak sekolah rendah, ibu bapa
menjadi ‘aset’ terbesar sepanjang waktu persekolahan.

Ini kerana pencapaian akademik anak mempunyai kaitan rapat dengan pembabitan
ibu bapa dalam aktiviti sekolah.

Pembabitan ini bukan sekadar membantu anak menyiapkan kerja sekolah, malah
menjadi sukarelawan dalam sebarang aktiviti sekolah juga didapati mampu
meningkatkan keyakinan dan pencapaian anak dalam pelajaran.

Keselamatan kanak-kanak di rumah

KESELAMATAN di rumah juga sangat penting untuk menjinakkan hati anak-anak.

Gejala lepak berlaku kerana anak-anak berasa tidak selesa di rumah sendiri yang
boleh disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan rumah sempit, bising atau
tekanan daripada ibu bapa.

“Anak-anak berasa selesa ketika melepak kerana mereka diterima oleh kawan.
Mereka boleh berkelakuan mengikut kehendak sendiri berbanding ketika bersama
ibu bapa. Inilah sebabnya ibu bapa perlu ‘buka telinga’ untuk anak, hanya
dengan cara ini barulah kita akan nampak apa yang mereka inginkan,” katanya.

Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawal emosi. Pamerkan emosi negatif (seperti
marah) pada waktu dan individu yang sepatutnya. Contohnya jika anda marah pada
seorang anak, usah babitkan anak yang lain dan pastikan dia tidak dimarah di
tempat awam atau di hadapan kawannya.

“Ibu bapa yang memukul anak biasanya tidak berfikir terlebih dulu. Jarang ibu
bapa berhenti sejenak, berfikir dan berkata ‘Ayah/ibu marah dengan sikap awak
(nama anak).’

Beri masa kepada diri sendiri untuk berfikir sebelum memukul anak.

“Biasanya anak akan faham dan jika diberi peluang (dengan menunjukkan perlakuan
yang betul), mereka belajar untuk tidak mengulangi kesalahan sama.

“Ibu bapa di Malaysia akan marah apabila anak bertanya perkataan yang tidak
elok maksudnya seperti bangsat atau perkataan lain yang ada unsur seks.

“Jangan marahkan anak, sebaliknya tanya dari mana mereka dengar perkataan itu
kemudian cuba terangkan secara ringkas supaya mereka faham.

“Lebih baik jika anda dapat berikan contoh mengapa perkataan itu perlu
dielakkan. Mereka sebenarnya dalam proses belajar dan ibu bapa perlu terima
hakikat bahawa sebahagian besar perbendaharaan kata anak-anak datang daripada
persekitaran,” katanya.

Selain itu, wujudkan suasana positif di rumah. Contohnya, apabila anak balik
dari sekolah, jangan terus terpa telinga mereka dengan arahan tertentu seperti
‘masukkan stokin dalam bakul’ atau ‘susun kasut di rak’ kerana anak akan
mendapat emosi negatif.

Alu-alukan kepulangan anak supaya dia berasa senang hati. Ini boleh dilakukan
dengan memberi pujian atas kerelaannya ke sekolah, balik tepat masa dan tidak
merayau sebelum balik ke rumah, kemudian barulah boleh memberikan arahan.

Bagaimana membantu anak anda menguasai perbendaharaan emosi:

· Dengar apa yang anak hendak katakan

· Tanya perasaannya setiap hari

· Cuba dengar emosi yang tidak diucapkan dan
bincangkan dengan anak

· Hubungkan emosi anak dengan realiti dengan
memberi contoh supaya dia faham

· Bincang dengan anak semasa gembira atau duka

· Kongsi atau luahkan perasaan anda pada anak

Panduan berkomunikasi ?dengan anak

CARA Nabi Muhammad s.a.w melayan anaknya sangat istimewa.
Apabila puterinya, Fatimah Az-Zahra datang ke rumah, ?Rasulullah menyambutnya
dengan bangun, memegang tangan, mencium dan memberikan tempat duduknya kepada
Fatimah.

Layanan seperti ini akan meninggalkan kenangan manis yang akan dikenang
sepanjang hayat berbanding memberikan hadiah.

Malah, ia juga akan membuatkan anak berasa lebih dihargai dan disayangi. Jadi
anak-anak perempuan khususnya tidaklah mudah terpikat dengan pujian dan
kata-kata manis lelaki lain.

Masalah yang dihadapi kebanyakan bapa (khususnya) ialah tidak tahu apa yang
perlu disembangkan dengan anak. Panduan di bawah mungkin boleh membantu anda:

Pilih masa yang sesuai untuk bercakap dengan anak iaitu ketika dia berasa
selesa. Sesetengah kanak-kanak tidak sabar hendak bercerita sebaik balik dari
sekolah, ada yang boleh tunggu hingga malam ketika kedua-dua ibu bapa ada di
rumah.

· Jangan tanya soalan ‘Macam mana sekolah hari
ini?’ kerana anda akan dapat jawapan seperti ‘ok’ atau ‘biasa saja.’

· Sebaliknya tanya ‘Ada perkara menarik berlaku
di sekolah hari ini?’

· Tanya juga mengenai cerita kawannya.
Bercerita mengenai orang lain lebih mudah daripada bercerita kisah diri
sendiri.

· Anda juga boleh mengimbas balik kisah lama
dan minta anak bercerita mengenainya.

· Bacakan buku cerita sebelum anak tidur pada
waktu malam. Banyak kisah cendekiawan Islam yang boleh diceritakan dan ia
secara tidak langsung dapat memperkenalkan anak dengan tokoh Islam ?terbilang.
Cara ini secara tidak langsung akan menggalakkan interaksi antara bapa dan
anak.

· Amalkan solat berjemaah di rumah, jika ada
halangan ke masjid. Minta anak yang lebih besar mengalunkan qamat. Anda juga
boleh minta anak yang lain jadi ‘pengurus solat’ untuk membentangkan sejadah
dan mengemasnya beramai-ramai selepas solat.

· Jika anak sudah cukup besar dan pandai jaga
kelakuan, bawalah anak ke masjid untuk solat berjemaah atau sebarang aktiviti
lain.

· Minta pandangan anak ?dalam membuat keputusan
?mudah yang membabitkan urusan rumah tangga contohnya menu pada hujung minggu,
barang keperluan ataupun pembahagian tugas membersihkan rumah.

· Luangkan masa untuk anak dan biar anak tahu
anda ?sentiasa bersedia mendengar cerita atau ada masa untuk mereka. Jika anda
lebih mementingkan perkara lain, dikhuatiri anak akan mengadu kepada orang
lain, yang mungkin memberi pengaruh tidak elok kepada mereka.

· Ramai ibu bapa tidak sedar mereka lebih
banyak memberi arahan atau bercakap kepada anak, bukan dengan anak. Bercakap
kepada anak bermakna bercakap satu hala (dari ibu ke anak), sedangkan apa yang
perlu diamalkan ialah komunikasi dua hala.

Namun menurut Jambunathan, jika anda tidak mampu mengawal perlakuan anak,
dapatkan bantuan daripada doktor atau pakar psikiatri. Mereka akan bantu anda
untuk mengenali sikap anak-anak kerana hampir 70 peratus suara anak-anak
tersimpan dalam hati.



2 kata² mereka...::

Aini said...

Menariks!

sopisTcated said...

good info to b share!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...